WARISAN HARTA SABAH SUMBANG 12,000 TOPENG MUKA, SANITASI

KOTA KINABALU: Syarikat Warisan Harta Sabah Sdn Bhd memberi sumbangan sebanyak 12,000 topeng muka dan sanitasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Rizal Dahli kepada Pengarah JKNS Datuk Christina Rundi dalam satu majlis ringkas di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1), di sini, hari ini.

Ahmad Rizal berkata, sumbangan itu diberikan kerana memahami keperluan topeng muka dan sanitasi yang mendesak selain niat membantu JKNS atas tanggungjawab korporat.

Katanya, sumbangan sebanyak 12,000 topeng muka dan sanitasi itu diharap dapat membantu mengisi keperluan keselamatan diri petugas barisan hadapan dalam menjalankan tanggungjawab setiap hari.

“Kita amat menghargai pengorbanan dan usaha keras JKNS dalam memastikan pandemik Covid-19 ini dapat dikawal dan seterus dihapuskan penularannya.

“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Negeri Sabah, kita juga memainkan peranan dalam membantu JKNS menerusi sumbangan peralatan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan berkenaan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WHS Sterilization Service Sdn Bhd, Mikail S.Abdullah.

Ahmad Rizal berkata, beliau berharap semua petugas barisan hadapan akan terus kuat dan sihat untuk membantu negara menghadapi Covid-19.

Sementara itu, Mikail S.Abdullah berkata, sumbangan yang disampaikan itu adalah tanggungjawab sosial membantu barisan hadapan negara.

Katanya, WHS Sterilization Service Sdn Bhd juga bertekad untuk terus komited membantu kerajaan membasmi pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada JKNS sebagai barisan hadapan negara yang berjuang memerangi wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Datuk Christina Rundi berkata, beliau amat menghargai segala sumbangan yang diberikan mana-mana pihak yang bermurah hati ketika ini.

Katanya, ini menunjukkan semua pihak memahami dan menyedari keadaan petugas JKNS yang menjadi barisan paling utama memerangi wabak Covid-19.

“JKNS amat menghargai sumbangan diberikan kerana kelengkapan perlindungan diri ini diperlukan oleh setiap petugas kesihatan dalam menjalankan tugas setiap hari,” katanya./beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *