Warisan sambut baik kejayaan polis tumpaskan sindiket dadah di Sabah dan nafi tuduhan liar

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menyambut baik kejayaan Polis Diraja Malaysia bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Sabah seperti yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata Warisan berpendapat bahawa mereka yang disyaki terlibat mestilah disiasat dan biarlah Mahkamah mengadili mereka mengikut undang-undang.

Namun begitu, katanya, Warisan kesal masih ada segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaitkan kes tersebut dengan Warisan seperti yang telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya Warisan mendapat dana daripada aktiviti tersebut.

“Sebagai amaran, Warisan dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut dan menganggapnya ia sebagai satu fitnah politik melampau bagi tujuan untuk menjatuhkan reputasi Warisan serta pemimpin-pemimpinnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Oleh yang demikian, beliau berkata, sekiranya perkara ini terus berulang, Warisan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang mengaitkan Warisan didalam apa-apa aktiviti atau sindiket haram yang melanggari undang-undang atau menyebarkan fitnah.

Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto S. Padua.