Wujudkan gabungan parti tempatan Sabah

Sudah tiba masanya untuk parti-parti tempatan di Sabah bergabung demi masa depan lebih cerah.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, dengan Sarawak, Malaysia Timur boleh mencul sebagai sebuah kuasa kukuh untuk meminta hak dan faedah yang sudah lama tertunggak kepada kedua-dua negeri ini.

Katanya, rakyat negara ini mempunyai harapan tinggi terhadap Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, layanan sama rata terhadap semua kaum apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan pada 2018.

“Malangnya beliau meletak jawatan sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan PH. Oleh itu, pihak pembangkang tidak seharusnya menuding jari terhadap parti lain yang menyebabkan kejatuhan itu.

“Kerana perkara-perkara yang terjadi sehingga kini adalah disebabkan keputusan peletakan jawatan berkenaan,” katanya ketika dalam Persidangan dan Pemilihan LDP 2021 di sini, menurut Utusan Borneo.

Katanya, berikutan itu, tiada satu pun parti dari Semenanjung Malaysia menjadi dominan untuk membentuk kerajaan baharu, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) mengharapkan sokongan daripada Ahli Parlimen Sarawak (18 Kerusi) bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, tidak dinafikan kerajaan PN ketika itu adalah sebuah kerajaan yang lemah.

Bagaimanapun katanya, walaupun pandemik COVID-19 menular dalam negara, tetapi terdapat pihak tidak bertanggungjawab ingin menjatuhkan Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kemudian, sekali lagi Kerajaan Persekutuan baharu dibentuk yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut disokong 18 Ahli Parlimen Sawarak.

“Perkembangan politik di Semenanjung Malaysia menunjukkan parti politik di sana sudah berpecah, termasuk pemimpin-pemimpin politik Melayu mereka juga tidak bersatu, berpecah menjadi beberapa parti.

“Saya percaya selepas Pilihan Raya Umum nanti, tiada satu pun parti dari Semenanjung Malaysia mampu menjadi dominan untuk memimpin kerajaan,” katanya.

Di Malaysia Timur pula, Chin berkata, para pemimpin Sabah sentiasa tidak berpuas hati dengan peruntukan yang berat sebelah khususnya Bajet kepada Sabah, walaupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sentiasa menjadi hujahan pemimpin di sini.

“Mengapa kita tidak dapat mencontohi Sawarak untuk bergabung dalam satu payung parti tempatan? kini tiba masanya parti tempatan ini bergabung untuk membentuk satu kekuatan.

“Dengan kesatuan dicapai oleh rakyat Sabah dan Sarawak, Malaysia Timur sudah pasti akan bangkit menjadi sebuah kuasa besar di Malaysia.

“Hanya ini cara kita untuk mendapatkan masa depan baik untuk Sabah dan Sarawak, tidak guna hanya pandai mengadu terhadap Bajet yang berat sebelah dari kerajaan Pusat sekiranya rakyat Sabah dan parti-parti di sini tidak bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Chin berharap Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti boleh diluluskan dalam Parlimen secepat mungkin.

Katanya, tanpa undang-undang itu dikuatkuasakan, pengundi mungkin tidak akan keluar mengundi mana-mana parti kerana wakil rakyat yang dipilih itu boleh melompat pada bila-bila masa seterusnya mewujudkan sebuah kerajaan yang tidak stabil.

Sementara itu, beliau menjelaskan LDP akan terus menjadi sebuah parti gelombang ketiga dan bergerak bebas sebagai pembangkang yang menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketika dalam pemilihan itu, beliau berkata LDP akan memberikan laluan kepada lebih ramai pemimpin muda untuk memegang jawatan dalam parti berkenaan.

“Undi18 bakal dilaksanakan, saya mengalu-alukan belia muda untuk menyertai LDP,” katanya.

Oleh itu katanya, kepimpinan Pergerakan Generasi Muda LDP mempunyai peranan penting dalam menarik lebih banyak golongan muda menyertai parti ini.

Barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi LDP baharu (2021-2024) terdiri daripada Presiden Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden Datuk Ir. Yong Wui Chung, Naib Presiden Ng Tet Hau, Datuk Peter Chin Kee Yong, David Ong Choon Chung, Chong Thien Ming dan Wong Min Kong.

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi ialah Datin Shim Nyat Yun, Yii Ming Seng, Eric Lau Kah Hon, Ng Kwan Loong, Shim Tshin Choo, Jason Liew Chien Yan, Lam Jin Dak, Chung Kiam Fui, Wong Chung On, Chong Nyuk Fong, Yong Khim Vun, Alvin Saw Eng Seng, Jimmy Lai Khin Hiong, Max Voo Min Chung, Ha Chen Hoo, Fung Thau Chim, Michelle Lee Cheng Wen,  Joseph Kong Yin Jee,  Thien Kui Sang dan Goh Soo Yee. 

Sementara itu, Datuk Ir. Chin Shu Ying dilantik sebagai Setiausaha Agung, John Lee Tsun Vui sebagai Bendahari Agung, Ketua Penerangan Simon Chin Hock Siong dan Setiausaha Penganjur Goh Soo Yee.

Selain itu, LDP juga memilih Datuk Edward Wong Kon Fan sebagai Speaker dan Datuk Mok Cheh Hung @Mok Kiong menjadi Timbalan Speaker. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *