Zahid ke Sabah bukan sebab isu politik, kata setiausaha

PETALING JAYA: Lawatan Presiden Umno Zahid Hamidi ke Sabah hari ini tiada kaitan mengenai dengan isu pergolakan politik di negeri itu, kata Setiausaha Politiknya Jamal Nerubi.

Jamal berkata, Zahid ke Sabah adalah lawatan kerja rasmi beliau sebagai timbalan perdana menteri yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.

Katanya, lawatan itu sebagai memenuhi jemputan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick bagi merasmikan majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Adun Kadamaian tersebut.

“Kita nafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, lawatan ini adalah lawatan kerja rasmi dan dakwaan ini adalah usaha memburukan nama timbalan perdana menteri di samping usaha untuk memecah belahkan kesatuan dalam Umno Sabah,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.

Katanya, sebagai presiden Umno sudah tentu Zahid mengambil peluang bertemu dengan ketua-ketua Bahagian Umno di Sabah dalam program santai dan ramah mesra tetapi bukannya membincangkan isu politik seperti yang didakwa.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Zahid akan ke Kota Kinabalu malam ini untuk menyelesaikan isu Umno negeri itu yang didakwa sedang bergolak.

Ketika ditanya wartawan mengenai situasi di Sabah dalam satu program Kuala Lumpur, Zahid berkata beliau akan ke Sabah selepas program itu dan akan beri satu kenyataan di Kota Kinabalu esok.

Pada 14 Dis lalu, Timbalan Ketua Umno Sabah Rahman Dahlan berkata belum ada keputusan dibuat Umno Sabah berhubung rakan kerjasamanya bagi menghadapi PRN Sabah

Kenyataan itu susulan pengumuman dibuat Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa parti pimpinannya akan bekerjasama dengan Umno pada PRN Sabah, sambil menjelaskan persetujuan itu diberikan ketuanya, Bung Moktar Radin.

Kerjasama itu menyaksikan mereka bakal berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi rakan dalam kerajaan perpaduan di Putrajaya.