“Zaman Nabi Muhammad di Madinah, Islam menjadi contoh awal sebuah negara multikultural”

Seluruh umat Islam meraikan Bulan Ramadan yang mulia bermula hari ini. Oleh itu, marilah kita sebagai sebuah negara mengambil kesempatan ini untuk merenung dengan mendalami serta memupuk perpaduan dan keharmonian. Telah dikatakan bahawa pada zaman Nabi Muhammad di Madinah, Islam telah menjadi contoh awal sebuah negara multikultural, di mana beliau berperanan sebagai pemimpin rohani umat Islam dan juga sebagai pemimpin politik bagi semua penduduk Madinah, termasuk orang Islam, Yahudi, dan Kristian. Sejarah awal ini memberi kita contoh yang mendalam tentang perpaduan dan kehidupan bersama secara aman.

Dalam semangat yang sama, marilah kita menerapkan nilai-nilai persaudaraan, perpaduan, dan keadilan agar ia berakar dalam masyarakat berbilang etnik kita, seperti kehidupan harmoni di sebahagian besar wilayah Nusantara, di mana Islam dan kepercayaan lain wujud secara serasi bersama-sama. Kita diingatkan bahawa perbezaan ini adalah peluang bagi kita untuk saling memahami, memupuk kerjasama yang dapat digambarkan indah melalui pepatah seperti aur dengan tebing.

Di peringkat antarabangsa, marilah kita bersama-sama menyokong penghentian segera pertumpahan darah di Gaza dan berusaha untuk mencapai penyelesaian dua negara (two state solution), dengan tujuan mengakhiri ketidakadilan yang telah lama dirasai penduduknya. Kita perlu dengan tegas menolak keganasan ini, khususnya tragedi kematian lebih daripada 30,000 rakyat Palestin. Mari kita terus berdoa dengan tekun untuk keamanan yang berterusan dan hubungan yang saling menghormati di rantau ini.

Di tanah air kita, sudah tiba masanya untuk meningkatkan usaha menyatukan rakyat Malaysia melalui kasih sayang dan keadilan, serta berdiri teguh menentang manipulasi politik yang cuba memecahbelahkan kita mengikut agama, etnik, dan bahasa. Kita seharusnya tidak terlibat dalam perbalahan budaya yang tidak berkesudahan mengenai pilihan makanan, minuman, pakaian, dan gaya hidup. Sebaliknya, kita harus memilih untuk saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni.

Dalam bulan Ramadan ini, mari kita memulakan perjalanan muhasabah dan penyucian rohani untuk menjadi warga Malaysia sejati, menolak sebarang sentimen ketuanan etno-agama. Mengimbas kembali, negara kita yang dikenali sebagai Malaysia telah terbentuk dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi. Melalui semangat kebersamaan, Sabah dan Sarawak menjadi rakan kongsi yang sama dengan hak-hak yang terkandung dalam MA63 dan disepadukan ke dalam Perlembagaan Persekutuan serta semua 12 dokumen lainnya. Hari ini, tiga rakan kongsi yang setara ini mula menjalinkan hubungan yang baik, sambil berusaha dengan gigih untuk memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam persekutuan.

Dalam pada itu, berdasarkan kes Nik Elin, penghakiman penting oleh Mahkamah Persekutuan memang telah mengesahkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatannya, di mana kuasa perundangan kerajaan Persekutuan dan Negeri telah ditentukan dalam Jadual Kesembilan. Penghakiman tersebut sama sekali tidak ada kaitan dengan menggugurkan Islam sebagai agama rasmi negara. Kita perlu menghormati penghakiman ini dengan semangat yang betul dan mematuhi tafsiran mahkamah terhadap Perlembagaan.

Sepanjang bulan Ramadan, ketika rakan-rakan dan keluarga Muslim kita berpuasa, memperdalam kerendahan hati dan belas kasihan mereka, marilah kita yang berlainan agama turut menyumbang kepada penyebaran keamanan, keharmonian, dan kedamaian. Semasa kita menanti Hari Raya Aidilfitri, semoga kita saling memohon maaf dan mengampuni, serta memperkukuh ikatan persefahaman dan perpaduan di seluruh masyarakat berbilang budaya dan kaum di Malaysia ini. Semoga Ramadan kali ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk mencapai harmoni dan persefahaman yang lebih baik. Selamat menyambut bulan Ramadan yang penuh barakah kepada semua.

 

YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Ahli Parlimen Tuaran

12 Mac 2024