KOTA KINABALU: Sebanyak 10 sekolah ditutup akibat banjir di empat daerah, hari ini selepas laluan dan kawasan sekolah dinaiki air sejak petang semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Raisin Saidin, berkata empat daerah terbabit ialah Penampang, Papar, Sipitang dan Tuaran.
Katanya, penutupan itu membabitkan seramai 5,077 murid dan pelajar serta 307 guru, dengan jumlah paling ramai ialah di Penampang, iaitu lebih 4,000 murid dan pelajar.
Beliau berkata, sebanyak enam sekolah ditutup di Penampang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sugut, SK St Theresa Inobong, SK Kibabaig, SK St Joseph, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min dan Sekolah Menengah (SM) St Micheal.
“Di Papar, sebuah sekolah ditutup iaitu SK Kelatuan, begitu juga di Sipitang sebuah sekolah ditutup setakat pagi ini iaitu SJKC Sin Boon, Sindumin.
“Bagi daerah Tuaran pula, dua sekolah terpaksa ditutup hari ini akibat banjir iaitu SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa, Tenghilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penutupan sekolah terbabit mengambil kira status banjir yang menjejaskan kawasan sekolah, selain laluan masuk ke sekolah yang dinaiki air dan tidak dapat dilalui.
Banjir melanda beberapa daerah di Pantai Barat Sabah, termasuk sekitar ibu negeri sejak petang semalam akibat hujan lebat lebih lima jam, dengan daerah Penampang dikenal pasti paling terjejas.
Pix – Keadaan banjir di SK St Theresa, Inobong, Penampang yang hampir ke paras bumbung.– Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ