Banjir jejaskan operasi LRA Kasigui,bekalan air terganggu

PENAMPANG: Banjir yang melanda daerah ini sejak petang semalam turut menjejaskan bekalan air bersih kepada sebahagian pengguna di daerah ini, Putatan dan Kota Kinabalu.

Ia berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, di sini, disebabkan tahap kekeruhan air Sungai Moyog yang tinggi akibat banjir.

Berdasarkan gambar dimuat naik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di Facebooknya, banjir turut menenggelamkan muka sauk atau ‘intake’ yang menyedut air sungai ke LRA Kasigui menyebabkan ia tidak dapat beroperasi.

Katanya, walaupun paras banjir semakin surut hari ini dan kerja pembersihan muka sauk sudah dimulakan, namun LRA terbabit belum dapat dioperasikan semula kerana air sungai sangat keruh.

“Operasi LRA Kasigui terpaksa ditutup disebabkan kadar kekeruhan yang tinggi. Air banjir sudah mula surut dan kerja-kerja pembersihan sudah mula dilakukan namun operasi masih belum dimulakan memandangkan kadar kekeruhan masih tinggi,” katanya.

LRA Kasigui memproses air mentah dari Sungai Moyog untuk disalurkan kepada pengguna di daerah ini, Putatan dan sebahagian pengguna di kawasan ibu negeri.

Berdasarkan notis dikeluarkan pihak JANS, penutupan loji itu bermula petang semalam. – Info X