1,114 KARTON MINUMAN KERAS DIRAMPAS

Oleh Wartawan BS

PENAMPANG: Dua lelaki ditahan bersama 1,114 karton minuman keras yang disyaki tidak dibayar cukai kastam dalam serbuan di kawasan tanah lapang, Jalan Lembaga Air Kasigui, di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, selepas menerima maklumat berkenaan aktiviti penyeludupan minuman keras.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan serbuan dan pemeriksaan bertempat di kawasan tanah lapang yang berpagar.

“Hasil serbuan itu menemui dua buah lori parkir di kawasan tanah lapang yang berpagar dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1,114 karton minuman keras pelbagai jenama.

“Semua minuman keras ini dipercayai diseludup ke daerah ini dan tidak bayar cukai Kastam,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke IPD Penampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, nilai keseluruhan minuman keras itu dianggarkan RM144,151 selepas cukai.

“Dua lelaki dipercayai pemandu lori dan kelindan berusia 20 dan 36 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Minuman keras ini dipercayai untuk pasaran di sekitar daerah ini dan polis masih menyiasat dalang aktiviti penyeludupan minuman keras berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.