Kementerian Kesihatan mengenal pasti 12 kluster baharu Covid-19 di empat negeri iaitu Terengganu, Sabah, Johor dan Selangor, serta Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu melibatkan 11 kluster tempat kerja dan satu daripada kumpulan berisiko.
Kluster Gong Nering adalah kluster tempat kerja di Besut, Terengganu melibatkan sebuah syarikat di Kampung Gong Nering. Kes pertama disahkan positif pada 12 Feb menerusi saringan bergejala. Keseluruhannya 183 orang disaring dengan 26 disahkan positif.
Kluster Jalan Kubur Darau di Besut, Terengganu melibatkan kumpulan berisiko tinggi. Kes indeks disahkan positif pada 28 Jan menerusi saringan bergejala. Kluster ini melibatkan kontak sosial kes indeks di Jalan Kubur Darau dan Kampung Raja, Besut. Daripada 42 orang disaring, 15 disahkan positif.
Sementara itu, kluster Jalan Chester adalah kluster tempat kerja di Tawau, Sabah, dengan kes indeks disahkan positif pada 2 Feb menerusi saringan bergejala. Kluster ini melibatkan kedai emas di Jalan Chester, Bandar Tawau. Setakat ini, 19 individu telah disaring dengan 10 daripadanya positif.
Seterusnya kluster tapak binaan Jalan Sungai Besi dikesan di Cheras, Kuala Lumpur, dengan kes indeks disahkan positif pada 6 Feb menerusi saringan bersasar di tapak pembinaan. Sejumlah 113 orang disaring, daripadanya 12 sah positif.
Kluster Jalan Bayu Satu adalah kluster tempat kerja di Johor Bahru, Johor, dengan kes indeks sah positif pada 6 Feb menerusi saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Bayu Satu, Bandar Seri Alam. Setakat ini, 35 orang telah disaring dengan 18 daripadanya disahkan positif.
Kluster Jalan Istimewa Tujuh juga satu lagi kluster tempat kerja di Johor Bahru, Johor. Kes pertama sah positif pada 2 Feb selepas saringan bergejala. Kluster itu melibatkan pekerja sebuah kilang di Jalan Istimewa 7, Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram. Daripada 92 individu disaring, 29 didapati positif.
Seterusnya, kluster Jalan Tun Mutalib adalah kluster tempat kerja di Kota Tinggi, Johor. Kes indeks disahkan positif pada 27 Jan menerusi saringan sebelum ke luar negara. Kluster melibatkan pekerja di sebuah kilang di Jalan Tun Mutalib, Bandar Tenggara. Sejumlah 32 orang disaring dengan enam didapati positif.
Seterusnya, kluster Gudang Salak Tinggi adalah kluster tempat kerja di Sepang, Selangor, dengan kes indeks disahkan positif pada 4 Feb menerusi saringan bersasar di sebuah syarikat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Sejumlah 455 orang disaring, daripadanya 42 disahkan positif.
Kluster Idustri Kampung Baru adalah kluster tempat kerja di Petaling, Selangor. Beberapa kes pertama dikesan positif pada 6 Feb menerusi saringan bersasar di tiga kilang di Topaz Industrial Centre, Kampung Baru, Sungai Buloh. Setakat ini, 450 orang disaring dengan 167 daripadanya disahkan positif.
Kluster Lingkaran Cyber pula kluster tempat kerja melibatkan daerah Sepang dan Petaling di Selangor. Kes indeks disahkan positif pada 5 Feb menerusi saringan bersasar di sebuah pasar raya di Lingkaran Cyber Point Timur, Cyberjaya. Setakat ini, 75 orang disaring dengan 24 daripadanya disahkan positif.
Kluster seterusnya, kluster Jalan Banting-Klang membabitkan tempat kerja di Kuala Langat, Selangor, dengan kes indeks disahkan positif pada 6 Feb selepas saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Banting-Klang, Telok Panglima Garang Industrial Estate. Daripada 287 individu disaring, 13 disahkan positif.
Akhirnya, Kluster Jalan Kuala Selangor membabitkan tempat kerja di Kuala Selangor, Selangor. Kes indeks disahkan positif pada 6 Feb selepas saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan sekolah di Kampung Tanjong Karang, Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan. Sejumlah 87 orang disaring, dengan 11 didapati positif.
Lima kluster tamat hari ini, iaitu kluster Rapat, Jalan SEDCO, Rambai, Jalan Nikolas dan Ria-30. Terdapat 441 kluster aktif kini daripada 888 yang dilaporkan.
Kluster yang melaporkan paling banyak jangkitan hari ini adalah kluster Industry Serkam (257), Industri Kampung Baru (167) dan Mayang Pasir (102).

More Stories
Saya sedih tapi redha dengan pemergian anak kedua kami: Ibu
HUMS adakan Perkhidmatan Klinik Bergerak di Kota Belud
HUMS Anjur Program Kesihatan di Kampung Rundum, Tenom