LAHAD DATU: Seramai 13 remaja lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional Lahad Datu, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semua remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam hingga 7.38 pagi, pada 21 Mac dan 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.
Prosiding secara tertutup itu berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dengan hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara kerana membabitkan kes juvana.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, manakala dua tertuduh diwakili peguam Amirul Amin Rashid dan Kamarudin Mohmad Chinki.
Baki seramai 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama, dipercayai dibelasah rakan di sebuah Kolej Vokasional di sini.
Mangsa, Muhd Nazmie Aizat ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas, pada jam 6.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.
Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan. –Info X
More Stories
KUSKOP komited wujudkan insentif untuk usahawan sabah dan serawak
Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’
DBKK laksana program ‘Jom Bayar Kompaun’