TAWAU: Seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan salah guna harta syarikat membabitkan sisa kosentrat emas, empat tahun lalu.
Brando Pang Tze Chiang, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin serta Majistret Don Stiwin Malanjun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lombong Bukit Mantri, Balung dalam daerah Tawau masing-masing pada awal tahun 2020, Oktober 2021, Mei 2022 dan Disember 2022.
Mengikut pertuduhan, Brando Pang yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Besar merangkap Penyelia Gold Room di Wullersdorf Resources Sdh Bhd (WRSB) telah dengan curangnya menjadikan harta milik syarikat berkenaan iaitu sisa kosentrat emas sebagai kegunaan sendiri.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Chin Teck Ming dan Vivian Thien.
Mohd Syahnidzam menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Brando Pang dengan dua orang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan dua orang tempatan.Kes disebut semula pada 14 Mei depan. –Info X
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah