13,550 pelajar Sabah dapat tajaan biasiswa kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak 2021 hingga 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu adalah hasil peningkatan dana untuk BKNS hingga mencatat jumlah tertinggi RM128 juta pada tahun ini.

Katanya, ia membabitkan peningkatan sebanyak 150 peratus sejajar komitmen kerajaan terhadap bantuan pendidikan anak Sabah, berbanding jumlah disediakan kerajaan sebelum ini pada 2020.

“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Oktober 2020, peruntukan untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM55 juta pada 2021.

“Kemudian ditambah kepada RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada 2024,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di ibu negara, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif selaku EZCO Pendidikan dan Agama Sabah.

Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 juga memberi manfaat kepada seramai 7,483 pelajar golongan B40.

Mereka terdiri daripada pelajar yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.6 juta.

Beliau berkata, bagi memperkasa lagi bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif dilaksanakan akan diteruskan pada tahun ini, selain ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya.

“Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma atau matrikulasi.

“Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu RM200 diberikan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Selain itu, kerajaan turut memberi Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah
(SUBFLY) kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, Kumpulan YS juga secara berterusan menawarkan pelbagai jenis tajaan membantu pelajar Sabah.

“Antaranya Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS), Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Tinggi.

“Komitmen Kumpulan YS terhadap pembangunan pendidikan di Sabah dapat dilihat apabila dana untuk pendidikan meningkat sebanyak 86.38 peratus kepada RM67.17 juta pada 2024 berbanding RM36.04 juta pada 2021.

“Ini membolehkan seramai 3,234 orang pelajar mendapat manfaat tajaan pendidikan Kumpulan YS pada 2024,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Kumpulan YS juga menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) yang memberi manfaat peluang pengajian pendidikan kepada ribuan anak Sabah sejak ia ditubuhkan.

Katanya, usaha sama antara badan penaja di negeri ini juga dipergiatkan melalui Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) yang dilancar tahun lalu bagi
memudahkan anak Sabah memohon tajaan pendidikan.

“Inisiatif ini turut melibatkan
badan penaja lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS),” katanya. – Info X