KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,190 orang setakat jam 8 malam ini, berbanding 227 orang tengah hari tadi.
Ia berikutan kawasan dilanda banjir bertambah sejak petang tadi kepada enam daerah berbanding hanya tiga daerah di pantai timur dan utara Sabah pada pagi dan tengah hari tadi.
Pagi tadi, tiga daerah diisytihar dilanda banjir iaitu Sandakan, Beluran dan Pitas, manakala tiga lagi daerah dilaporkan kemudian iaitu Paitan, Kota Marudu dan Matunggong.
Setakat malam ini, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di semua daerah terbabit.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan setakat jam 8 malam ini iaitu seramai 912 mangsa daripada 290 keluarga.
Ia diikuti daerah Sandakan seramai 132 mangsa daripada 32 keluarga dan Beluran dengan seramai 92 mangsa daripada 26 keluarga.
Selebihnya, seramai 33 mangsa daripada 10 keluarga di Paitan, 11 mangsa daripada tiga keluarga di Matunggong, Kudat dan 10 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan akibat banjir di Pitas setakat jam 8 malam ini.
Banjir di daerah terbabit berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam yang menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat hingga melimpahi tebing dan membanjiri kawasan rendah. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan