14 hotel sekitar KK dikesan beroperasi tanpa lesen

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 hotel yang beroperasi tanpa lesen di sekitar bandar raya ini, Inanam dan Sulaman Sentral, di sini, diberi notis oleh Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dalam operasi Sabtu lalu.

Jabatan Pelesenan DBKK menerusi kenyataan media hari ini berkata, operasi yang dijalankan bermula jam 10.30 pagi itu disertai seramai enam anggota Jabatan Pelesenan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 14 premis hotel dikenal pasti menjalankan operasi tanpa lesen.

“Susulan itu, DBKK mengeluarkan tawaran notis kepada operator untuk mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 14 hadi daripada tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, DBKK akan terus menjalankan operasi pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengesan hotel yang beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Langkah ini sekali gus meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan operator-operator hotel di sekitar bandar raya ini,” katanya. – Info X