Paitan dilanda kemarau, klinik, sekolah antara terjejas bekalan air

KOTA KINABALU: Ketika penduduk di kawasan pedalaman berdepan bencana banjir, beberapa kawasan di utara Sabah pula berdepan masalah kemarau.

Antara terjejas ialah Paitan yang dilaporkan tidak mengalami hujan sejak pertengahan April lalu, menyebabkan penduduk mula berdepan masalah bekalan air bersih.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Paitan, tiga lokasi di daerah itu terjejas akibat kemarau setakat ini iaitu Kampung Musingapu, Klinik Tangkarason dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang.

Katanya, berikutan aduan yang diterima, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi terjejas bagi memantau keadaan.

“Klinik Tangkarason memerlukan bekalan air untuk kegunaan operasi klinik, staf dan pesakit luar, manakala SK Bawang memerlukan bantuan bekalan air bersih untuk kegunaan sekolah, rumah guru, staf, pelajar dan kantin sekolah,” katanya.

Pemantauan di kampung yang terjejas pula mendapati penduduk terpaksa menggunakan air kolam dan sungai untuk mencuci pakaian dan mandi, manakala air bersih untuk memasak dan minuman bergantung kepada bekalan air tangki yang ditempatkan di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Kampung dan dewan.

Katanya, penghantaran air terus ke rumah penduduk agak sukar berikutan keadaan jalan ke rumah penduduk kampung tidak boleh dilalui kenderaan besar seperti lori.

“Hasil pemantauan hari ini, sumber air seperti kolam dan sungai tidak selamat untuk diminum dan dimasak. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut aduan yang diterima,” katanya. – Info X