Ditahan bersama syabu, dua pengedar dadah tumpas di Tawau

Dua lelaki disyaki pengedar dadah berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Merotai, di Tawau kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata tangkapan tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan risikan terhadap aktiviti yang dilakukan oleh kedua-dua suspek.

“Hasil serbuan itu berjaya merampas sebanyak 133.21 gram dadah jenis syabu disyaki untuk diedar di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, lapor Utusan Borneo.

Katanya, serbuan pertama membabitkan tangkapan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah di Kampung Langsat, Merotai.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan dua paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 50.8 gram disembunyikan dalam sebuah kotak rokok,” katanya.

Menurutnya, serbuan kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun di jalan pangkalan hujung Kampung Haji Matahir, Merotai kira-kira jam 9.50 malam.

“Suspek yang membawa sebuah beg cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan, namun berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan lanjut, berjaya menemukan sebanyak sembilan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 82.41 gram,” katanya.

Peter berkata, hasil ujian saringan air kencing juga turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kesemua suspek berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *