Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 2,548 pesakit sembuh berbanding 1,680 kes baharu Covid-19 dengan tujuh kematian.
Ini menjadikan 289,452 kes pulih daripada keseluruhan 311,777 jangkitan Covid-19 dengan 1,166 kematian direkodkan setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 21,159 kes aktif dengan 84 daripada 172 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 1,677 penularan tempatan dan tiga kes import.
Katanya, kes penularan tempatan membabitkan 1,225 warganegara dan 452 warga asing.
Selangor masih mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 826 kes.
Ia diikuti Sabah (74), Johor (139), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (81), Negeri Sembilan (89), Pulau Pinang (84), Perak (68), Sarawak (221), Kedah (11), Melaka (10), Kelantan (35), Pahang (17), Terengganu (22), Wilayah Persekutuan Labuan (1) dan Putrajaya (2).
Noor Hisham berkata, enam kes kematian dicatatkan di Selangor dan Sarawak serta satu di Sabah.
Katanya, semua kematian membabitkan warganegara berusia 43 hingga 84 tahun, dengan lima daripadanya menghidap kencing manis serta beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan jantung.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026