Pemergian Abdul Ghani Gilong, kehilangan besar buat negara

Veteran politik Sabah Abdul Ghani Gilong, 88, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini, malam tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.12 tengah malam kerana sakit tua.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, seluruh Malaysia khususnya negeri Sabah merasa kehilangan atas pemergian seorang Tokoh Negarawan berasal dari Ranau itu.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang bersama-sama mengasaskan Perjanjian MA63 bagi merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Pada ketika itu, mendiang Tan Sri juga memainkan peranan penting bersama mendiang Tun Fuad Stephens menjelajah hampir ke seluruh pelusuk Sabah. Mereka membantu Suruhanjaya Cobbold memberi penerangan kepada rakyat negeri ini mengenai faedah-faedah yang bakal dinikmati Sabah sekiranya menyokong pembentukan Malaysia,” kata Madius dalam satu hantaran facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, Abdul Ghani Gilong turut memberi sumbangan besar ketika memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.

“Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Menteri Kehakiman serta Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Malaysia.

“Sebutir intan permata yang sukar dicari ganti. Saya ucapkan salam takziah kepada seluruh waris dan ahli keluarga mendiang. Dengan penuh rasa berdukacita, semoga Tan Sri tenang dalam persemadian,” katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Taufiq Yap Yun Hin melalui laman rasmi facebooknya turut menyuarakan pandangan yang sama.

“Allahyarham merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2010 berikutan jasanya yang banyak membantu penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada 1963,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2017, UMS telah menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah Kehormat kepada Ghani pada majlis konvokesyen ke-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *