18 Tahun Memilih Dari Hujung Jari

Undi18 is a Malaysian youth movement that promotes a youth-centric agenda and democratic reforms. They successfully advocated for the amendment of Article 119(1) of the Federal Constitution, reducing the minimum voting age from 21 to 18 years old.

Oleh: Dr Jakaria Dasan

Keputusan PRU ke-15 telah memberi gambaran yang pelbagai. Salah satu daripadanya adalah bagaimana kumpulan 18 tahun ke 20 tahun menterjemahkan kuasa undi mereka kepada keputusan pilihan raya yang sengit. Tanpa memberi kelebihan mutlak kepada mana-mana parti dominan, undi yang telah disempurnakan oleh kumpulan ini menghidangkan keputusan yang menarik dalam lipatan sejarah pilihan raya negara ini.

Kehadiran kumpulan ini juga telah menyedarkan khalayak pengundi dewasa bahawa pilihan mereka sebagai pengundi sukar diramal. Mereka tahu calon untuk dipilih lebih awal sebab media sosial adalah sebahagian daripada pentas hiburan mereka. Untuk menentukan siapa calon untuk diundi pada hari pembuangan undi, mereka hanya perlu baca informasi terkini seseorang calon itu dari pelbagai sumber di media sosial.

Penangan COVID-19 juga menjadi sebahagian daripada punca kepada keputusan pilihan raya kali ini. Apabila masyarakat di dunia mula tertumpu kepada hubungan menerusi atas talian dari rumah pada pertengahan tahun 2020, kumpulan pemilih ini, yang pada ketika itu berusia dalam lingkungan 16 tahun, telah pun mula bersosial menerusi atas talian sepenuhnya. Selaku generasi yang lahir dalam era ledakan teknologi maklumat, peralihan mereka ke dunia maya sangat pantas dan cepat. Pendekkata, mereka beradaptasi dengan latar kehidupan sedemikian dengan sangat baik. Dengan kata lain, menerusi hujung jari mereka sudah mampu menekan aksara-aksara tertentu untuk mengetahui maklumat yang mereka inginkan.

Akibat daripada perkembangan teknologi dan COVID-19, generasi ini lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding dengan generasi lama. Mereka sangat rapat dan sangat menghormati orang tua atau keluarga mereka. Disebabkan rasa hormat ini jugalah, yang menyebabkan mereka enggan berkongsi sepenuhnya mengenai pendapat atau pandangan mereka khususnya sesuatu yang boleh melukakan hati kedua ibu bapa mereka. Lantaran itu, calon yang mereka pilih tidak sama dengan calon yang menjadi pilihan keluarga.

Generasi ini juga lebih cenderung untuk membuat keputusan berdasarkan kepada pengaruh rakan sebaya. Gelanggang bersosial mereka sentiasa terbuka luas. Mereka memilih untuk mengikut pilihan rakan sebaya yang selalu bersosial media dengan mereka. Tambahan pula, dewasa ini banyak platform media sosial baharu tersedia dengan kupasan isu yang hebat dari pakar-pakar seluruh dunia. Keadaan ini memungkinkan sebilangan dari generasi ini lebih suka serkap maklumat dan memadankan dengan isu tempatan tanpa menghiraukan konteks yang relevan atau sebaliknya.

Beberapa penganalisis politik telah membuat beberapa rumusan kepada hasil keputusan pilihanraya baru-baru ini. Antara rumusan yang dibuat ialah kurangnya kempen berbaur hasutan dan fitnah. Jika dibandingkan dengan kempen-kempen pada masa lalu, kempen kali ini tidak begitu rasis dan tidak etnosentrik kepada kumpulan pengundi atau kawasan tertentu. Malah, hubungan fizikal antara calon atau peraih undi dengan komuniti juga dibuat mengikut sasaran yang diperlukan sahaja oleh seseorang calon atau parti. Rumusan lain juga mendapati bahawa penetapan calon dari parti-parti yang bergabung menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong calon yang tidak terpilih. Selain itu, isu-isu yang mengaitkan seseorang calon dengan sabitan kes-kes salahlaku juga kurang dihiraukan.

Rumusan-rumusan ini memberi indikasi bahawa pengundi sudah pun matang. Mereka tidak mengundi kerana amarah atau tidak puas hati. Sebaliknya, mereka mengundi kerana inginkan perubahan yang harmoni. Maklumat di hujung jari lebih diyakini oleh pengundi baharu yang banyak bersosial menerusi teknologi atas talian khususnya sejak COVID19 pada tahun 2020 yang lalu.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Pusat Komunikasi Korporat UMS