199 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

TAWAU: Seramai 199 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, hari ini.

Semua Pati terbabit dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 171 lelaki, 16 wanita dan 12 kanak-kanak.

Katanya, program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI).

“Ini adalah program pemindahan siri ke-22 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express dan Francis Express.

“Semua Pati berusia lingkungan satu hingga 69 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tahanan Pati yang dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri di Tawau.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Katanya, pada 2024, sehingga ke hari ini seramai 2,850 tahanan Pati warga Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8,146 individu warga asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.

“Semua tahanan Pati ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Pemindahan Pati akan dilakukan setelah melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,” katanya. – Info X