2 pengedar dadah ditahan, rampas syabu RM44,000

BELURAN: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama 400 gram dadah jenis syabu bernilai RM44,000 dalam Ops Tapis di Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh, di sini, malam tadi.

Dua suspek warga tempatan masing-masing berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Kompeni A, Batalion 20 Beluran, kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, ketika dalam tugas berkenaan, anggota bertugas menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback warna biru yang dinaiki dua lelaki.

Katanya, hasil pemeriksaan, anggota bertugas menemukan satu bungkusan plastik warna merah jambu di dalam kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam plastik itu menemui satu balutan plastik warna hitam. Selepas dibuka balutan itu menemui lapan bungkusan plastik lutsinar.

“Setiap satu bungkusan itu berisi dadah jenis syabu. Jumlah anggaran berat kasar dadah adalah seberat 400 gram dengan nilai RM44,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis masih mengesan rangkaian pengedaran dadah ini bagi siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek ditahan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut. Semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Orang ramai diminta supaya bekerjasama dan memberikan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan ini,” katanya. – Info X