2 rumah musnah dalam kebakaran di Kundasang

RANAU: Dua buah rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Lembai Permai, Kundasang, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.55 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan dua buah rumah jenis dua tingkat separuh kekal musnah dalam kejadian itu.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga pancutan dari jentera dan sumber air terbuka di lokasi berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.02 petang.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian dalam kejadian berkenaan,” katanya. – Info X