TAWAU: Penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lapangan Terbang Tawau, di sini, malam tadi.
Mangsa lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman berkenaan kemalangan itu pada jam 10.45 malam.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 malam dan membabitkan tiga buah kenderaan.
“Kejadian berlaku ketika pemandu e-hailing berusia 38 tahun yang memandu sebuah kereta pelbagai guna (MPV) menuju ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penumpang.
“Manakala kereta proton saga dipandu seorang wanita berusia 36 bersama penunggang motosikal dari arah yang sama iaitu dari Lapangan Terbang Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal cuba memotong kereta proton saga dengan memasuki laluan bertentangan.
Namun katanya, jarak yang terlalu dekat motosikal mangsa bertembung dengan kereta MPV lalu terhumban ke cermin hadapan kereta proton saga.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak sejauh 21.6 meter ke bahu jalan sebelah kiri dari arah Lapangan Terbang Tawau dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu proton saga dan e-hailing pula hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan berkenaan,” katanya.
Jasmin berkata, polis akan meneruskan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?