Madius (duduk tengah) serta para pegawai kanan KPP bergambar bersama para usahawan IKS yang akan menyertai Ekspo Malaysia Fest Singapore 2019,di Singapura.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Sebanyak 20 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah akan menyertai pameran Ekspo Malaysia Fest Singapore 2019, bertempat di Dewan Ekspo Singapura pada 25 hingga 28 Julai 2019.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, syarikat IKS berkenaan akan mengetengahkan pelbagai produk, antaranya kosmetik, makanan, minuman dan fesyen.
Beliau berkata, Ekspo Malaysia Fest Singapore Edisi ke 4 ini merupakan platform perniagaan untuk memberi peluang kepada usahawan di Sabah menerokai dan mempromosikan produk negeri ini ke pasaran antarabangsa Singapura.
“Pemiihan syarikat usahawan ini adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pedagangan dan Perindustrian (KPP) melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR),” katanya pada sidang media, di pejabat KPP, disini pada Jumaat.
Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, DIDR adalah sebuah agensi di bawah KPP, berperanan untuk mempromosi produk buatan Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa serta menarik pelaburan ke Sabah melalui Malaysia Fest Singapore 2019.
Katanya, pameran selama empat hari itu dijangka dapat menarik kira-kira 60,000 pengunjung. Pameran ini
mempromosikan negeri-negeri di Malaysia dan mempamerkan produk produk makanan, fesyen, kecantikkan dan pelancongan dan sebagainya.
“Menerusi penyertaan DIDR dalam pameran sebelum ini, produk-produk buatan Sabah menerima maklumbalas dan sambutan yang sangat positif daripada pembeli-pembeli Singapura,” katanya.
Madius berkata, mengikut lapuran, jumlah jualan kaunter semasa Malaysia Fest Singapore 2018 adalah RM153,024.00 dan tempahan dari syarikat singapura yang diterima adalah sebanyak RM672,000.00 yang melibatkan empat buah kontena.
“DIDR akan terus menyertai pameran ini untuk kali yang ke-3 berdasarkan prestasi sebelum ini dan merupakan satu platform untuk mempromosikan produk-produk Sabah Sabah ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Madius berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha menggalakkan eksport untuk meningkatkan jumlah eksport tempatan sekaligus meningkatkan nilai eksport keseluruhan Sabah.
Madius juga memaklumkan bahawa penyertaan usahawan Sabah dalam Cosmobeauty Seaul 2019 pada kali ini telah mendapat maklumbalas yang sangat baik daripada pengimport luar negara selepas tahun ketiga menyertai pameran itu berbanding penyertaan pada tahun 2018.
Katanya, sebanyak tujuh syarikat Sabah yang telah dipilih menyertai pameran ini telah berjaya mendapat jualan tempahan keseluruhannya berjumlah RM4.64 juta melibatkan sembilan kontena setahun dari negara Jepun, Korea, Taiwan, Filipina dan UAE.
“Pencapaian ini sangat baik jika dibandingkan dengan pencapalan tahun 2018 yang hanya mendapat jualan tempahan sebanyak RM33.600.00,” katanya.
Katanya, jumlah potongan jualan yang masih dalam peringkat perundingan berkenaan harga adalah sebanyak RM6.4 juta yang akan melibat 13 kontena.
“Ini bermakna jika harga konsultasi dapat disepakati, prestasi keseluruhan hasil penyertaan dalam ekspo Cosmobeauty Seoul 2019 adalah sebanyak RM10.8 juta setahun yang akan melibatkan 22 kontena.
“Selaku Menteri yang menerajui KPP, yang dipertanggungjawabkan membangunkan sektor pembuatan di negeri ini, saya akan terus memainkan peranan penting dalam menyelaras penyertaan IKS dalam mana-mana ekspo untuk membantu IKS mencari pasaran baru supaya dapat maju ke tahap yang lebih tinggi dan juga menarik pelabur untuk melabur ke Sabah,” katanya.

More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal