2019-nCoV : 1 LAGI KES DI SABAH JUGA NEGATIF

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Satu lagi kes di Sabah yang disyaki jangkitan coronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCoV dilaporkan negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan di laman Facebook Page beliau mengesahkan perkara itu.

“Merujuk kepada Kenyataan Akhbar KPK bertarikh 23 Januari 2020 dan maklumat susulan mengenai empat kes yang disyaki 2019-nCoV di Malaysia.

“Ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kempat-empat kes disyaki tersebut oleh pihak IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) adalah NEGATIF bagi jangkitan Novel Coronavirus,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Noor Hisham berkata kes keempat adalah seorang remaja lelaki warganegara China berusia 16 tahun yang bercuti bersama keluarga di Sabah.

Beliau telah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV adalah negatif.

“Tiga kes pertama telah menerima rawatan perubatan yang sewajarnya dan telah discaj daripada hospital. Kes keempat sedang menerima rawatan dan berada dalam keadaan yang stabil,” katanya.

Semalam, Noor Hisham menerusi kenyataan media berkata sebanyak empat kes jangkitan virus 2019-nCoV dilaporkan berlaku di negara ini, masing-masing dua di Sabah dan Selangor.

Bagaimanapun, tiga daripada kes itu kemudian didapati negatif 2019-nCoV manakala seorang lagi iaitu remaja lelaki dari China terbabit masih menerima rawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *