Oleh Nio James
KOTA KINABALU: Seramai enam orang pesakit Talasemia telah menamatkan latihan kemahiran dalam bidang bakeri yang ditaja sepenuhnya oleh Repsol Oil & Gas Malaysia (Repsol Malaysia) di akademi memasak tempatan, di sini.
Program kemasyarakatan tajaan Repsol Malaysia ini merupakan salah satu pelaburan sosial syarikat berkenaan untuk membantu golongan komuniti yang terpinggir dan memerlukan bantuan agar mereka memiliki kemahiran dalam sesuatu bidang.
Peserta ini yang berusia antara 20 hingga 32 tahun terdiri daripada Aelsy Jemis dan Rujuline Mabaris daripada daerah Matunggong, Mastijah Harun dan Florineey Sindam (Kota Belud) dan Nathracy Tanjong dan Ely Olivera Daniel (Keningau).
Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim, berkata beliau sangat kagum melihat kemajuan para peserta selepas menamatkan kursus berkenaan, baru-baru ini.
“Saya benar-benar gembira atas pencapaian keenam-enam mereka yang saya boleh kategorikan sebagai insan istimewa ini,” katanya.
Francis turut berterima kasih kepada Repsol Malaysia atas initiatif pelaburan sosial syarikat itu yang melibatkan pesakit Talasemia untuk berkecimpung dalam bidang kemahiran, yang boleh diusahakan daripada rumah masing-masing.
“Repsol telah merealisasikan kaedah serampang dua mata dalam Persatuan Talasemia Sabah, iaitu penyelarasan kempen untuk menyedarkan masyarakat ke arah Sifar Talasemia Menjelang Tahun 2030 dan pada masa yang sama, memberi peluang dan keceriaan serta matlamat hidup mereka yang dilahir menanggung penyakit talasemia ini,” kata Francis.
Semantara itu, Rujuline Mabaris yang berasal daripada Matunggong telah dinobatkan sebagai pelatih terbaik oleh panel tenaga pengajar.

Beliau turut berterima kasih kerana diberi peluang mengikuti kursus itu dan bercita-cita untuk menjadi pembekal serta penjual kuih dan kek kepada para guru dan murid di sekolah berhampiran rumahnya.
Semua peserta juga telah menyatakan hasrat mereka untuk membuka ‘home bakery services’ daripada rumah mereka di mana produk-produk mereka nanti dibekalkan menerusi pelbagai strategi yang telah mereka pelajari.
Peserta dari Keningau, Ely Olivera berkata, beliau tertarik dengan bidang bakeri sebelum ditawarkan kursus ini.
“Saya nampak makcik yang mengusahakan produk-produk bakeri di kampung dan melihat bahawa permintaan sentiasa ada sehinggakan dia banyak kali menolak disebabkan terlalu banyak tempahan,”katanya.
Pelaksanaan latihan kemahiran ini merupakan satu cabang kolaborasi Repsol Malaysia bersama Persatuan Talasemia Sabah selepas bekerjasama selama berberapa tahun dalam penganjuran Hari Talasemia Sedunia sejak tahun 2014 lagi.
Penasihat perhubungan kerajaan dan masyarakat Repsol bagi Sabah & Labuan, Datuk Eddie Abdullah, berkata, komitmen Repsol dalam program ini adalah menaja kursus pendek/asas sepenuhnya dan menyediakan setiap peserta dengan sebuah oven bersaiz komersial, seragam yang sesuai, keperluan peralatan untuk perusahaan mereka dan bahan mentah untuk pengeluaran pertama.

“Bagi memastikan keberkesanan program, jurulatih mereka akan membuat pemantauan berjadual dan memberi khidmat nasihat sepanjang 12 bulan selepas tamat kursus.
“Dalam masa 12 bulan berkenaan, peserta akan dinilai dari segi komitmen terhadap perusahaan mereka, prestasi penjualan dan kaedah pengurusan secara umum.
“Sebagai insentif tambahan, Repsol telah menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM1000, RM600 dan RM300 kepada tiga pemenang teratas,” katanya.
Eddie berkata, tujuan syarikat itu mengadakan program-program seperti ini adalah berteraskan lebih kepada membantu usaha-usaha kerajaan dan badan buikan kerajaan (NGO) atau korporat yang lain dalam menaikkan taraf sosio ekonomi masyarakat yang terpinggir supaya mereka dapat mengecapi hidup yang lebih ceria dan selesa.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ