21 SEKOLAH DI SABAH DILANDA BANJIR

KOTA KINABALU: Sebanyak 21 buah sekolah di tujuh daerah berasingan iaitu di Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam.

Di daerah Penampang, sebanyak empat sekolah dilanda banjir iaitu Sekolah Menengah (SM) St Michael, Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, SK Kibabaig, dan SK St Theresa manakala di Kota Kinabalu sekolah yang dinaiki air ialah SK Rampayan.

Keadaan SM St Michael di Penampang yang dilanda banjir

Sementara itu di Papar, sebanyak tujuh buah sekolah terjejas akibat banjir iaitu SK Daingin, SK Kambizaan, SK Gana, SK Pekan Kinarut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Cheng Ming serta SK Kelatuan manakala SK Long Pasia satu-satunya di Sipitang sekolah yang kawasannya dinaiki air.

Di Kota Belud pula, dua buah sekolah dinaiki air kawasannya iaitu di SK Sembirai dan SK Sesapang.

Selain itu, empat buah sekolah di daerah itu turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir iaitu di SMK Taun Gusi 2, SMK Taun Gusi, SMK Pekan, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said.

Dalam pada itu sebanyak dua buah sekolah di Tuaran juga dinaiki air iaitu di SK Bundung dan SK Tinambak manakala di Beaufort sebanyak empat buah sekolah dilanda banjir iaitu di SK Bukau, SK Ladang Lumadan, SK Sinoko serta SK Klias Baru.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistrine Radin ketika dihubungi berkata, kesemua sekolah berkenaan akan ditutup sehingga banjir surut sepenuhnya serta selamat untuk dimasuki.

“Kami juga telah melantik syarikat pembersih untuk membersihkan kawasan sekolah tetapi kebiasaannya para guru turut bergotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah selepas dilanda banjir.

“Buat masa ini, sekolah rendah belum beroperasi tetapi dalam persediaan untuk pembukaan pra sekolah pada 1 Julai ini.

“Hanya St Michael di Penampang yang terjejas dan bersedia untuk ditutup sehingga banjir reda,” katanya.-http://beritasabah.com