BINGKASAN: PERTANIAN BERI KITA NYAWA

IKHLAS… Bingkasan (bertopi) menyerahkan linggaman kepada David (baju merah) di Dewan Tamaza, Kg Natai Siba semalam.

INANAM: Pandemik kerana virus corona yang masih berlarutan sehingga saat ini telah mengetengahkan betapa sektor pertanian memainkan peranan penting dalam kehidupan.

“Pandemik itu, COVID-19 membuka mata kita bahawa harta benda terutama wang ringgit hampir tiada nilai apabila kita tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan sejak 18 Mac lalu. Kita ada duit tetapi kedai tutup; malah kita tidak pun dibenarkan keluar daripada rumah seperti rutin harian kita sebelum itu.

“Dalam kita mengikuti PKP dan prosedur standard operasi, sangat jelas bahawa kita-kita yang berada di kawasan yang ada kebun di sekeliling rumah, walau tanah hanya sebesar tapak tangan, tetapi kita tidaklah kekurangan sangat dari segi bekalan makanan harian,” kata Albert Bingkasan.

“Daun betik, betik itu sendiri, daun ubi kayu, kangkung, cangkok manis dan banyak lagi memberi warna kepada meja makan kita; ayam kampung seekor dua membekalkan protein, dan asam pekasam menambah selera. Semua itu membuat kehidupan kita di kampung tidaklah terjejas sangat.

“Betul, kita mungkin rindu juga makanan dalam tin, atau sup tulang di restoran atau cendol segala yang memang tidak dapat kita beli selama lebih tiga bulan PKP itu, tetapi secara keseluruhan, kita tidaklah kebuluran kerana bakti kita kepada tanah. Tidak keterlaluan andai saya katakan, pertanian, termasuk perikanan memungkinkan kita terus bernafas, bernyawa tat kala COVID-19 berleluasa,” tambah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau itu.

Bingkasan, yang juga merupakan Ketua Penerangan UPKO, berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan beliau semasa majlis ringkas penyerahan alat untuk menuai padi kepada David Ho, ketua unit Pertubuhan Peladang Kampung Natai di sini semalam.

“Masyarakat di luar bandar ada aset penting iaitu tanah. Mari lipat gandakan usaha bercucuk tanam. Kita tanam padi, ubi kayu, buah-buahan dan sayuran. Kita pelihara ikan, kita ternak ayam dan itik.

“Semua itu, wajib pula kita buat industri hiliran agar ada nilai tambah. Mengapa berpuas hati dengan makan hanya ubi kayu kalau kita boleh juga goreng dan hasilkan kerepek ubi kayu? Kolam-kolam ikan, selain untuk menjadi sumber ikan, boleh juga menjadi pusat memancing; dan menghasilkan produk hiliran yang lain,” tambah beliau.

Sementara itu, David dalam ucapannya berterima kasih kepada Bingkasan yang menyumbangkan 60 buah alat menuai padi atau linggaman yang akan dibahagi-bahagikan kepada para petani di Natai dan sekitarnya.

“Saya santai bersama beliau pada awal tahun ini. Kebetulan kami bercerita mengenai linggaman yang memang agak sukar didapati terutama dalam jumlah yang banyak. Tuan Albert tidak teragak-agak bersetuju menaja, justeru penyerahan pada malam ini dan pasti linggaman ini akan memudahkan lagi kami ketam padi mula tahun ini,” tambah beliau.-http://beritasabah.com