22 pendatang haram kena tahan ESSCom di Tawau

Cubaan 22 pendatang tanpa izin untuk menyusup masuk ke negara ini gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Op Cegah Pati (OCP) Daratan semalam.

Kesemua mereka yang dipercayai menaiki bot dari Indonesia, telah mendarat dan ditemukan bersembunyi di kawasan semak berhampiran pesisir pantai di Jalan Tawau di sini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman (gambar) berkata pendatang haram terbabit terdiri daripada 11 lelaki dewasa, lapan wanita dan tiga kanak-kanak berumur antara enam hingga 60 tahun ditahan pada 5.15 petang. 

“Bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota keselamatan diketuai ESSCom dan dibantu Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia mengesan 22 individu dengan barang-barang peribadi, dan tanpa dokumen pengenalan diri dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes  disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.

Ahmad Fuad berkata kejayaan berkenaan adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak dalam menggagalkan taktik pendatang tanpa izin menggunakan lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

Beliau berkata ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) komited menjalankan tugasan mengawal dan memantau keselamatan sempadan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *