Hospital swasta akan mula kasi daftar penerima vaksin

Hospital swasta akan mula mendaftarkan orang awam untuk menerima vaksin Covid-19 daripada kerajaan tidak lama lagi, demikian menurut Persatuan Hospital Swasta Malaysia.

Bercakap pada sidang media di forum “Future Hospital” di sini, presiden persatuan itu, Dr Kuljit Singh, berkata selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, hospital swasta akan memulakan pendaftaran “secepat mungkin”.

“Kami akan segera bekerja untuk mendaftarkan pesakit awam dan swasta untuk vaksinasi di hospital swasta bagi mempercepat proses,” katanya.

Katanya, proses itu dapat dimulakan sebaik sahaja garis panduan rasmi daripada Kementerian Kesihatan disusun dan disampaikan kepada kemudahan swasta.

Mereka yang berdaftar masih akan menerima vaksin yang diperoleh oleh kerajaan kerana pemerolehan swasta masih belum bermula, dan jenis serta lokasi akan ditentukan oleh MySejahtera.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), lebih daripada lapan juta rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk program imunisasi kebangsaan sehingga semalam.

Terdahulu, Adham berkata susulan krisis kesihatan yang sedang melanda, ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan kerjasama antara semua pihak berkepentingan.

“Ia turut meruntuhkan silo, merapatkan jurang dalam dan antara sektor kesihatan awam serta swasta, menekankan kepentingan solidariti, pengagihan semula sumber, dan tindakan kolektif, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *