2,464 kes baharu Covid-19, 9 kematian

Jangkitan Covid-19 terus merekodkan penurunan dengan 2,464 kes baharu semalam berbanding 2,798 kes pada hari sebelumnya.

Sebanyak sembilan kematian dicatatkan termasuk satu kes di luar fasiliti kesihatan.

Menurut data di laman web CovidNow, ia membabitkan 2,448 kes penularan tempatan sementara 16 kes import.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat kepada 4,757,752 kes dan kematian 36,145.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 39,918 kes aktif Covid-19 dilaporkan, termasuk 69 pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 33 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes aktif itu, 37,408 pesakit atau 96.1% menjalani kuarantin di rumah, 32 kes atau 0.1% dirawat di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC), sementara 1,409 orang atau 3.6% menerima rawatan di hospital.

Seramai 4,427 pesakit dilaporkan sudah sembuh.

Tiada kluster baharu direkodkan semalam, menjadikan keseluruhan kekal 7,065 kluster, dengan 36 daripadanya masih aktif.