PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti trend tempahan janji temu slot vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan akan meningkatkan jumlah slot di pusat yang mempunyai permintaan tinggi, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Orang ramai boleh ke PPV yang tersenarai dalam MySejahtera secara tanpa janji temu bagi mendapatkan vaksinasi namun bergantung pada turutan, mengikut waktu ketibaan dan ketersediaan vaksin pada hari berkenaan.
“Maklumat pertambahan atau perubahan kepada bilangan slot janji temu di sesebuah PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga 21 Dis, sebanyak 426 klinik kesihatan seluruh negara menawarkan pemberian vaksin Covid-19.
Dzulkefly berkata sekiranya slot janji temu di sesebuah PPV penuh, orang ramai dinasihati memilih PPV lain yang masih mempunyai slot tempahan janji temu pada minggu berlainan.
Beliau turut menegaskan pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini secara sukarela, namun digalakkan terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
Selain secara jumpa terus, orang ramai boleh membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebelum ini.
More Stories
Tiada bukti kukuh sokong dakwaan air berkarbonat boleh diuji positif COVID-19 – MDA
7,294 kes COVID-19 dicatatkan di Perak sepanjang tahun ini
Pelitup muka, kit ujian COVID-19 cukup di pasaran, harga berpatutan – KPDN Sabah