3 LELAKI TERMASUK KANAK-KANAK PARAH DITEMBAK

Oleh Wartawan BS
5 Februari 2020

KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak parah selepas dipercayai terkena tembakan oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di atas jambatan Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa pertama berusia 36 tahun cedera di lutut kaki kanan manakala kanak-kanak terbabit yang berusia 3 dan 10 tahun masing-masing cedera di perut serta cedera melecet di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian itu dan ketiga-tiga mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Katanya, siasatan awal dipercayai seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan dan mengenai ketiga-tiga mangsa terbabit.

“Semua mangsa kini dirawat di HQE dan dalam keadaan stabil.

“Motif kejadian itu belum dipastikan lagi dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Tambah beliau lagi, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dilakukan oleh pasukan polis.