PENAMPANG: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pogunon, Jalan Penampang-Tambunan, di sini, malam tadi.
Kebakaran itu turut memusnahkan empat buah kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.06 pagi.
Katanya, pasukan bomba mengambil masa kurang dari 20 minit bersama jentera ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi memadam kebakaran dilaksanakan menggunakan dua aliran, tiga pancutan dengan sumber air berterusan dari pili bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian dan dua rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah terbakar 70 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, turut musnah dalam kejadian ini ialah empat kenderaan jenis Perodua Kancil terbakar 80 peratus, Hyundai Atos 90 peratus, Proton Wira 90 peratus dan Toyota Van LiteAce musnah sepenuhnya.
Katanya, tiada mangsa terbabit dan punca kejadian serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.16 pagi,” katanya. – Info X
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026