KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan, Jo-anna Sue Henley Rampas menjelaskan kedudukannya yang kini tidak lagi terbabit dalam mana-mana politik.
Katanya, beliau sudah berundur daripada semua jawatan politik yang dipegangnya sebelum ini sejak akhir tahun lalu lagi.
Langkah itu katanya disebabkan beliau menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Terlalu banyak spekulasi di media yang mungkin saya perlu katakan semula – walaupun ini sudah dijelaskan pada Disember tahun lalu.
“Saya berundur daripada semua jawatan politik saya sejak akhir tahun lalu memandangkan saya kembali belajar untuk PhD saya di UNIMAS,” katanya melalui perkongsian di Facebook beliau, hari ini.
Unduk Ngadau 2007 itu menjelaskan, sejak itu beliau tidak lagi terbabit dalam sebarang politik dan peringkat parti.
Jelasnya, beliau juga tidak merancang untuk kembali aktif dalam politik pada masa ini kerana mahu menumpukan kepada tesis dan penyelidikan yang dijalankannya sekurang-kurangnya untuk tempoh 18 bulan hingga dua tahun.
“Bagaimanapun, saya akan terbabit dalam perbincangan dan berkongsi pendapat berkaitan situasi semasa dalam politik Sabah,” katanya.
Sebelum ini, Jo-anna juga adalah Ketua Wirawati Warisan Tuaran dan menjadi calon Warisan bagi kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.
Pengunduran daripada jawatan politik disandangnya sebelum ini turut dikaitkan dengan kemungkinan beliau mahu menyertai parti lain. – Info X
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah