YB Jenifer Lasimbang bergambar kenangan bersama dengan para pelajar dan ibu Bapa.
TOGUDON (Penampang): (17 Sep) Soalan pertama yang ditanya Jenifer Lasimbang, setiba di SK Tampasak Togudon, kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada minggu depan ialah; “Bagaimana perjalanan kamu semua untuk sampai di sini? Kamu guna kereta atau berjalan kaki? Kamu ada bawa baju panas?”
Beliau merujuk kepada keadaan jalan di kampung-kampung Terian, Longkogungan dan Buayan yang masih belum ada dan jika ada pun masih belum berturap. Tanahnya becak dan sentiasa basah. Jalan yang ada hanya dapat dilalui kereta pacuan empat roda.
Kebanyakan penduduk masih menggunakan ‘jalan kerbau’ untuk bergerak dan ini diburukkan lagi dengan geografi kampung ini yang bergunung-ganang. Ini menyukarkan perjalanan, terutama bagi kanak-kanak.
Jawapan bagi soalan pertamanya itu, ada yang berjalan kaki dan ada yang menggunakan kereta. Mereka yang berjalan kaki tinggal tidak jauh dari Kg Togudon. Mereka yang mengguna kereta, terpaksa memandu terlebih dahulu ke Bandar Donggongon sejauh lebih 20 kilometer, sebelum memandu balik ke Togudon melalui jalan raya utama. Lebih mudah dan cepat memandu daripada berjalan kaki di tengah-tengah hutan.
Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi ini faham benar dengan masalah dan kekurangan di kampung-kampung ini yang terletak dekat Banjaran Crocker. Hutannya sentiasa basah dan amat sejuk pada waktu malam dan pagi.
Namun, beliau lega kesemua 30 murid yang bakal mengambil peperiksaan UPSR yang bermula pada 24 September ini, membawa pakaian panas yang cukup untuk menghangatkan badan pada waktu malam.
Calon-calon ini belajar di empat sekolah iaitu SK Tampasak, Longkogungan, Buayan dan Terian. Mereka akan menduduki peperiksaan di SK Tampasak di Togudon dan tinggal selama seminggu di asrama di sini sehingga peperiksaan tamat.
Selepas itu, Wakil Rakyat Moyog bertanya sama ada semua murid ini bersedia untuk menduduki peperiksaan. Suara serentak “sudah bersedia” kedengaran daripada murid-murid ini.
“Kamu semua sepatutnya sudah bersedia. Kamu ada enam tahun untuk mempersiapkan diri. Tiada alasan untuk kamu tidak bersedia sebab kamu sudah diajar sejak di Darjah Satu lagi,” katanya menambah yang beliau gembira bersama mereka untuk memberi sokongan dan semangat untuk berdepan cabaran pertama alam persekolahan.
Lawatan Lasimbang di sekolah ini turut membawa bersama bantuan alat tulis, kerusi, meja dan papan tulis kepada SK Tampasak. Para ibu bapa murid dan penduduk kampung berdekatan juga mengambil kesempatan hadir di sesi memberi motivasi ini untuk bertemu dengan wakil rakyat mereka.
Di sesi motivasi, beliau mengingatkan para murid, bahawa mereka perlu memberi tumpuan selama seminggu ini dan berharap mereka memberikan jawapan terbaik ketika menjawab setiap soalan.
“Bila sudah duduk nanti, jalan terlalu susah hati, stres atau takut. Ibu bapa kamu juga akan sentiasa ada untuk memberikan sokongan dan semangat. Tiada apa-apa yang patut ditakutkan sebab kamu adalah anak-anak yang pintar dengan tubuh badan sihat.
“Sebelum menjawab, baca soalan dengan betul-betul dan jangan terburu-buru. Lihat juga masa yang diperuntukkan supaya semua soalan dapat dijawab. Jangan lupa juga berdoa supaya minda tenang dan jelas. Saya percaya kamu boleh menjawab setiap soalan dengan tepat,” katanya.
Dalam ucapannya, Lasimbang mengulangi pentingnya pendidikan untuk menaikkan taraf kehidupan diri, keluarga dan juga kampung sendiri.
Memberi contoh dirinya yang datang daripada keluarga besar dengan 12 adik-beradik, keluarganya adalah petani dan beliau selalu membantu menanam dan menuai padi, bekerja keras membantu keluarga tetapi ia tidak menghalangnya untuk terus belajar.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya menggalakkan anak-anak mereka belajar sehingga ke peringkat yang tinggi dan jika ada masalah kewangan, mereka boleh berjumpa dengannya untuk mendapatkan bantuan.
Kerajaan negeri katanya, memperuntukkan biasiswa RM10 juta bagi membantu mereka yang cemerlang tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan.
Bukan semua pelajar cemerlang dalam akademik katanya, tetapi ibu bapa perlu memberi peluang kepada mereka untuk mencuba dalam apa jua bidang yang mereka mahu ceburi.
Beliau berjanji akan membantu termasuk mencari dana untuk diberi kepada sekolah yang daif, termasuk sekolah di kawasan pedalaman seperti di Togudon. Banyak sekolah masih daif kerana kekurangan infrastruktur manakala kemudahan dalam kelas darjah juga tidak lengkap.
Sabah katanya, sudah ada ‘talian terus’ bagi para ibu bapa dan warga pendidik untuk mendapatkan bantuan. Keadaan pendidikan di Sabah tidak lagi seperti dahulu di mana banyak birokrasi perlu dihadapi sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat.
“Kami meminta Kerajaan Pusat untuk memberi kuasa pendidikan yang harus diputuskan oleh Sabah sendiri. Misalnya, kita boleh putuskan mengenai bahasa, budaya atau kurikulum yang sesuai. Inilah kelebihan kita. Tapi ini tidak bermakna, kita membelakangkan semangat nasionalisme,” katanya.
Sebelum mengakhiri ucapan, Lasimbang meminta para murid untuk sentiasa mengingati asal usul mereka. Walaupun satu hari nanti, sudah cemerlang dalam pendidikan, jangan lupa latar belakang sebagai petani dan kehidupan di kampung.
“Jika mengambil jurusan pertanian, jadilah petani moden dengan menggunakan pelbagai jentera untuk menambah hasil lumayan. Misalnya, jika mereka pergi ke negara lain, satu hari nanti apabila balik, pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi boleh digunakan untuk membangunkan kampung sendiri,” katanya.

YB Jenifer Lasimbang menyampaikan kerusi kepada Guru Besar sekolah Tampasak Togudon penampang puan Venancy Suimin.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara