JAMALUL Kiram Mohd Zakaria. – Foto Ihsan Yayasan Sabah
KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menambah dana sebanyak RM10 juta setahun bagi biasiswa pendidikan untuk pelajar kali pertama yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Pengarah Yayasan Sabah, Jamalul Kiram Mohd Zakaria, berkata dana itu akan disalurkan dalam fasa setahun, antara lain bertujuan meringankan beban keluarga penerima.
“Jumlah pelajar Sabah melanjutkan pengajian ke IPT semakin meningkat setiap tahun dan kebanyakan mereka datang dari keluarga berpendapatan rendah serta sederhana yang memerlukan biasiswa dan pinjaman.
“Mereka sering berdepan masalah melanjutkan pengajian kerana perlu menanggung kos seperti penerbangan, yuran pendaftaran dan sara hidup sebelum mendapat tawaran daripada mana-mana penaja. Bantuan pendidikan pasti berguna untuk pelajar ini,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Jamalul menjelaskan, selama lebih lima dekad, KYS menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk anak Sabah dan telah menyumbang kepada pencapaian pendidikan prolifik kumpulan itu.
“Dana tambahan itu pasti menyediakan platform untuk menghasilkan graduan bertaraf dunia kepada setiap pelajar yang layak di Sabah,” katanya sambil menambah kira-kira 5,000 pelajar akan menerima dana berkenaan tahun ini.
Beliau turut menyambut baik inisiatif itu sebagai satu komitmen KYS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas cadangan penambahan dana itu.
Katanya, dana khas itu adalah inisiatif Shafie dalam membantu pelajar cemerlang dan kurang bernasib baik yang baru mendaftar di IPT.
“Ia dibahagikan kepada dua kategori di mana pelajar tahun pertama diploma dan ijazah yang mendaftar di IPT di Sabah akan menerima bayaran sekali sahaja sebanyak RM1,000 seorang, manakala pelajar yang memasuki IPT di Sarawak dan Semenanjung menerima RM2,000.
“Dana juga diberi kepada pelajar yang mendaftar di Kolej Matrikulasi serta mereka yang mengikuti kursus asas di mana-mana universiti milik kerajaan, selain kursus peringkat sijil di Kolej Teknikal Yayasan Sabah,” katanya.
Jamalul berkata, kriteria pemilihan adalah berdasarkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan pemohon mesti warganegara Malaysia dari Sabah dengan sekurang-kurangnya ibu atau bapa berasal dari negeri ini. – Wan Faizal Ismayatim/BH Online
More Stories
Dua tahun tiada pengambilan, Madius minta KPM luluskan semua permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun
Hubungan baik ibu bapa dan guru teras kemenjadian murid
447,982 murid Tahun Satu terima bantuan awal mulai minggu ini