30 minit tersepit dalam kereta

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kudat – Kota Belud berhampiran Puspakom, di Pekan Kota Marudu. – Foto Recqueal Raimi

KOTA MARUDU: Seorang pemuda terpaksa menanggung azab selama 30 minit apabila tersepit dalam PROTON Saga dipandunya selepas bertembung sebuah Honda Civic di Jalan Kudat-Kota Belud, berhampiran PUSPAKOM di Pekan Kota Marudu, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 10.30 malam itu, mangsa, Jeffreslie Mijan, 19, cedera ringan pada bahu serta paha dan dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata lima anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.33 malam.

Katanya, sebaik tiba, mangsa didapati tersepit di bahagian pemandu manakala pemandu Honda Civic berumur 30 tahun, tidak cedera.

“Usaha mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan secara berhati-hati dan mengambil masa menggunakan peralatan Kemalangan Lalu Lintas (RTA) untuk membuka ruang kenderaan bagi membolehkan kerja menyelamat dilakukan.

“Operasi ditamatkan pada jam 11.31 malam manakala mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – Oleh Recqueal Raimi/BH Online