Ewon (dua dari kanan) menerima kertas cadangan mengenai projek bekalan air di Kadamaian daripada Sam, turut kelihatan Pengasas Bersama Hope Malaysia June Wong (kanan) dan Poh Khay Inn (kiri).
KOTA KINABALU (18 Sept): Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada Hopes Malaysia Welfare Association (HOPES), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berhasrat untuk melaksanakan Projek Air Graviti di lima buah kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Dalam kunjungan itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengalu-alu dan memberikan sokongan penuh usaha Hopes melaksanakan projek itu yang akan dimulakan pada Julai 2019 dan dijangka siap September 2019.
“Saya tiada halangan untuk memberikan kebenaran kepada Hopes melaksanakan Projek Mata Air (Bekalan Air Bersih) kepada penduduk di lima buah kampung iaitu Kg.Bokilong, Kg.Podos, Kg.Terintidon, Kg.Kaung Ulu dan Kg Lasau Podi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat itu di Pejabatnya di Bangunan KPLB, di sini, hari ini.
Ewon turut mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka demi kepentingan dan manfaat penduduk kampung terutamanya di kawasan luar bandar.
“Di kawasan Kadamaian sahaja, terdapat 74 buah kampung yang memerlukan perhatian kita (kerajaan). Dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak NGO seperti HOPES, kita dapat melengkapi diantara satu sama lain seterusnya membantu lebih ramai penduduk yang memerlukan kemudahan asas.
“Saya berharap ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk kampung terutamanya dari segi penyediaan bekalan air bersih dan kemudahan asas yang lain,” katanya.
Beliau menyeru agar lebih banyak NGO atau syarikat-syarikat korporat di negeri ini memberikan komitmen yang sama dan bekerjasama dengan kerajaan untuk sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Sementara itu Pengarah Eksekutif yang juga Pengasas HOPES Malaysia Sam Lee berkata, projek kemasyarakatan yang akan dilaksanakan di Kadamaian adalah projek ketiga NGO tempatan berkenaan.
“Kami memulakan projek komuniti ini pada tahun 2016 di Kampung Tudan iaitu Projek Penanaman Cendawan dan membantu membina sistem bekalan air bersih bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan penduduk kampung dan menyelesaikan masalah gangguan air di kampung itu yang mengalami kerosakan akibat gempa Gunung Kinabalu pada 2015,” katanya.
Selain itu katanya, Hopes Malaysia juga berjaya melaksanakan projek air graviti di Kampung Takulung Kota Belud awal tahun ini.
Sam berkata, Hopes Malaysia bukan setakat melaksana dan menyiapkan projek di sesebuah kampung tetapi akan terus memantau dan menyelenggaranya agar ia benar-benar memberi manfaat kepada penduduk kampung secara berterusan.

Wakil Hopes mengadakan perbincangan bersama penduduk kampung terbabit di Pejabat Adun Kadamaian, baru-baru ini mengenai projek air graviti yang akan dilaksanakan di lima buah kampung di Kadamaian.

Wakil Hopes melawat tadahan air di sebuah kampung kawasan Kadamaian.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad