KOTA MARUDU: Empat lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel akhirnya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Longob, di sini, Ahad lalu.
Serbuan jam 4.50 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, hasil risikan berkaitan kejadian curi kabel di Kampung Mangkalua, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan kira-kira 123 kilogram wayar kabel yang dicuri serta beberapa peralatan pemotong kabel (cutter).
“Hasil ujian air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Semua suspek juga memiliki antara lima hingga tujuh rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Polis sentiasa memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan apa juga maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ