Sidang DUN: Belanjawan tambahan RM1.18 bilion lulus

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 atau belanjawan tambahan bagi tahun ini bernilai lebih RM1.18 bilion.

Jumlah itu diperlukan bagi memastikan operasi pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong, berkata RUU itu lulus selepas menerima sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan DUN hari ini.

Terdahulu, RUU itu dibahaskan seramai 26 orang ADUN, iaitu Sindumin, Senallang, Nabawan, Moyog, Tungku, Darau, Lamag, Sebatik, Sulabayan, Kemabong, Gum-Gum dan Bugaya.

Turut membahas ialah ADUN Merotai, Sekong, Tanjung Aru, Kapayan, Elopura, Kadamaian, ADUN Dilantik, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, ADUN Sri Tanjung, Telupid, Kukusan, Limbahau, ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin, ADUN Sungai Manila dan Balung.

Ketika membentangkan RUU itu, Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peruntukan tambahan diperlukan bagi membiayai enam kategori perbelanjaan.

Kategori berkenaan ialah caruman kepada kumpulan wang berkanun, perbelanjaan pentadbiran, perbelanjaan operasi, perbelanjaan bagi pemberian dalam negeri, perbelanjaan bagi tujuan pelaburan dan peruntukan khas.

“Kategori pertama adalah caruman kepada kumpulan wang berkanun yang disyor berjumlah RM600 juta atau 51 peratus; Perbelanjaan Pentadbiran (RM204 juta); Perbelanjaan Operasi (RM195 juta) dan Perbelanjaan bagi Pemberian Dalam Negeri (RM84 juta).

“Turut disenaraikan ialah perbelanjaan bagi tujuan pelaburan iaitu sebanyak RM54.4 juta dan Peruntukan Khas sebanyak RM50.7 juta,” katanya. – Info X