400 PATI FILIPINA DIUSIR HARI INI

SANDAKAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengusir 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina pulang ke negara asal melalui pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun ini seramai 5,645 orang.

Pengarah MKN Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata ia adalah pengusiran siri ke-23 melalui laut tahun ini dengan proses diselaraskan MKN bersama Jabatan Imigresen dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi lain.

“Kita juga memastikan semua tahanan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir dengan tahanan yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu.

“Semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sitti Saleha turut menegaskan MKN terus komited untuk melaksanakan pengusiran PATI dan semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan terhadap PATI walaupun wabak Covid-19 belum berakhir.

Katanya, pihaknya menghargai maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan dalam menjejaki dan menangkap PATI yang menyusup masuk ke negara ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencerobohan PATI dinasihatkan untuk segera menghubungi National Task Force di talian 011-62511223.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *