4,239 kes ini hari, 5,007 pesakit sembuh

Kementerian Kesihatan melaporkan 4,239 kes baharu Covid-19 dan 5,007 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada 2,623,816 kes setakat ini, dengan 2,527,052 orang daripadanya sudah pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 511 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 418 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 93 lagi disyaki dijangkiti virus itu.

Daripada jumlah itu, 261 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 173 daripadanya positif Covid-19 dan 88 lagi masih dalam siasatan.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes baharu hari ini, 12 ialah kes import dan baki 4,227 kes penularan tempatan membabitkan 4,065 warganegara serta 162 warga asing.

“Hanya 1.7% daripada jumlah kes baharu hari ini terdiri daripada Kategori 3 hingga 5,” katanya dalam kenyataan.

Hisham turut memaklumkan tiga kluster baharu direkodkan hari ini.

Ini menjadikan 5,703 daripada 5,931 kluster sudah tamat, manakala 228 kluster masih aktif.