46 PATI warga Indonesia dihantar pulang

KOTA KINABALU: Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau, hari ini.

Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan feri Francis Express ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, penghantaran pulang ini membabitkan seramai 41 lelaki, lima wanita berusia lingkungan 18 hingga 74 tahun.

“Ini adalah program pemindahan siri 21 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

 

Katanya, Januari 2024 hingga kini seramai 2,651 tahanan warga Indonesia sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 7,927 orang.

“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.

SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.

“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya. – Info X