Penunggang maut motosikal bergesel di Jalan Gaya

KOTA KINABALU: Seorang penunggang maut selepas motosikal dinaiki bergesel dengan sebuah lagi motosikal berhampiran Lampu Isyarat Deasoka, Jalan Gaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku jam 4.35 pagi membabitkan seorang penunggang lelaki berumur 30-an.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah bulatan Bandaraya menuju ke Jalan Gaya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian penunggang motosikal dalam keadaan yang laju daripada arah belakang melanggar sebuah lagi motosikal lagi yang berada dihadapannya lalu begesel.

“Kejadian mengakibatkan motosikal terbabit hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan bertugas.

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian penunggang motosikal dengan melanggar sebuah motosikal dihadapannya dan bergesel sehingga hilang kawalan lalu terbabas.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas,” katanya.