469 pelajar Fakulti Sains UMS terima anugerah dekan

KOTA KINABALU: Seramai 469 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Anugerah Dekan bagi Semester 1 Sesi 2023/2024.

Pelajar terbabit menerima anugerah masing-masing pada majlis meraikan mereka yang disempurnakan Dekan FSSA, Prof Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau, di sini, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Jualang berkata majlis itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar atas usaha gigih mereka mendapatkan keputusan cemerlang dalam pengajian.

Katanya, pengiktirafan itu juga sebagai bukti bahawa usaha berterusan dan sokongan keluarga menyumbang kepada kecemerlangan pelajar.

“Majlis pengiktirafan ini membuktikan kecemerlangan pelajar pada hari ini adalah refleksi kepada semangat dan usaha berterusan pelajar serta sokongan yang padu daripada ibu bapa, keluarga dan pensyarah.

“Di samping itu, ia juga bagi membuktikan bahawa UMS adalah sebuah institusi yang mampu untuk melahirkan graduan cemerlang.

“Kejayaan anda pada hari ini bukan suatu yang mudah untuk dicapai. Ini adalah hasil ketekunan, dedikasi dan komitmen yang tinggi,” katanya.

Jualang menyampaikan anugerah cemerlang kepada seorang pelajar FSSA UMS.

Beliau menambah pencapaian cemerlang adalah titik mula dalam mempersiapkan diri pelajar untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

“Saya menyeru semua pelajar agar menanam mentaliti sebagai pelajar seumur hidup agar dapat beradaptasi dengan baik mengikut keperluan masa hadapan,” katanya.

Daripada jumlah penerima anugerah itu, seramai 29 pelajar mendapat markah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FSSA, Prof Madya Dr Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSSA, Prof Madya Dr Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan FSSA 2024, Dr Rubena Yusof. – Info X