KOTA KINABALU: Cucu mangsa Tragedi Double Six, mendiang Datuk Peter Mojuntin, hari ini mengemukakan surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pembatalan pengharaman buku mengenai datuknya.
Menerusi surat itu, Atalia Mae Albert Jaua, memohon kepada Perdana Menteri supaya membatalkan pengharaman buku ‘Peter J Mojuntin: The Golden Son Of The Kadazan’ yang mengisahkan perjalanan hidup mendiang Peter.
Katanya, buku berkenaan adalah biografi yang ditulis oleh Bernard Sta Maria dan pertama kali diterbitkan pada 1978 dengan tujuan untuk menceritakan perjalanan Peter dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah (ketika itu, Borneo Utara) dan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah.
“Buku ini diharamkan kerana mengandungi kritikan terhadap dasar dan sikap Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah pada ketika itu.
“Buku ini pertama kali diharamkan pada tahun yang sama ia diterbitkan di bawah Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Tegahan Mengenai Penerbitan), Internal Security Act 1960 (ISA).
“Bagaimanapun, pengharaman terhadap buku ini tidak ditarik balik walaupun ISA telah dimansuhkan dan kini pengharaman itu berada di bawah Seksyen 32(2)(a) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.
Peter yang juga bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah terkorban bersama beberapa pemimpin lain termasuk Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen dalam nahas Sabah Air GAF Nomad pada 6 Jun 1976 atau lebih dikenali sebagai Tragedi Double Six.
Atalia berkata, perjuangan mendiang datuknya dan perkara yang dikaitkan dengan buku mengenainya adalah berkaitan dengan isu kebebasan bersuara dan ketelusan dalam pemerintahan.
“Saya percaya Datuk Seri (Anwar) lebih arif tentang perkara ini berbanding dengan orang lain. Sehingga kini, Datuk Seri masih teguh memperjuangkan kebebasan dan memerangi rasuah serta menjadi pengkritik vokal terhadap isu-isu ketidakkonsistenan dan diskriminasi.
“Tunjukkanlah dan buktikanlah kata-kata yang pernah Datuk Seri ucapkan suatu masa dahulu, ‘Anak Melayu, Anak Cina, Anak India, Anak Kadazan, Anak Iban semua anak saya’ kerana Datuk Peter Mojuntin adalah seorang Kadazan yang tidak dapat berkhidmat lama kepada Sabah dan kerajaan Persekutuan kerana pemergiannya pada usia muda ketika berumur 37 tahun.
“Selain itu, adalah tidak masuk akal untuk mengharamkan sebuah buku kini yang diberikan secara percuma di internet. Merujuk kepada teori kesan Streisand, pengharaman sesebuah buku kebiasaannya akan menarik lebih banyak perhatian terhadap buku tersebut yang mana akan menyebabkan lebih ramai orang lebih berminat untuk membacanya.
“Semakin banyak usaha yang dilakukan untuk menyembunyikan atau menapis sesuatu maklumat, semakin meluas penyebaran maklumat tersebut secara tidak langsung.
“Memandangkan buku tersebut telah tersedia secara dalam talian, mungkin ada yang telahpun membuat salinan terhadap buku tersebut untuk dijadikan bahan bacaan peribadi mereka, tanpa memikirkan penat lelah dan usaha penulis dalam menghasilkannya.
“Oleh yang demikian, boleh dikatakan yang pengharaman ini hanyalah simbolik sahaja kerana ia tidak memberi kesan dalam era digital ini. Membatalkan pengharaman ke atas buku tersebut dan mengakui kewujudannya adalah pendekatan yang lebih baik berbanding daripada terus mengekalkan kontroversi mengenai pengharamannya,” katanya.
Katanya, empat minggu lalu, iaitu ketika Perdana Menteri menghadiri sambutan Kaamatan di KDCA Penampang, Huguon Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah menyatakan hasrat beliau agar Anwar menimbangkan semula dan menarik balik pengharaman buku itu.
“Rakyat Sabah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada Datuk Seri untuk membuat keputusan yang tepatkerana dengan melakukan demikian akan menunjukkan pengiktirafan Datuk Seri terhadap perjuangan Datuk Peter Mojuntin untuk kebebasan dan keadilan.
“Dengan penuh rasa hormat terhadap kepimpinan dan usaha Datuk Seri ke arah perpaduan dan ketelusan dalam pemerintahan, saya amat berharap supaya Datuk Seri dapat menimbangkan semula untuk membatalkan pengharaman ke atas buku itu.
“Buku ini bukan sahaja menjadi satu lambang penghormatan kepada warisan datuk saya tetapi juga sebagai satu kisah yang penting tentang sejarah di Sabah dan perjuangan rakyatnya untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan dalam Persekutuan kita.
“Dengan membatalkan pengharaman tersebut, Datuk Seri akan mempamerkan kesungguhan Datuk Seri dalam menegakkan prinsip kebebasan bersuara dan pemerintahan berdemokrasi.
“Ini akan membuktikan kepada rakyat Sabah dan juga kepada semua rakyat Malaysia, bahawa Persekutuan kita menghargai pertukaran idea secara bebas dan mengikhtiraf suara daripada semua pihak, terutama suara mereka yang telah banyak menyumbang dalam melakar sejarah Persekutuan kita. – Info X
More Stories
Kastam Sabah rampas dadah RM2.5 juta ‘dikirim’ melalui kurier
Kanak-kanak autistik hilang di Tamparuli masih belum ditemui
Liga Super : Sabah FC gagal akhiri kempen dengan kemenangan