480 ANGGOTA MKN SABAH DIBERI SUNTIKAN VAKSIN HEPATITIS B DAN INFLUENZA

SANDAKAN: Seramai 480 pegawai dan anggota Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Sabah yang berdepan risiko penyakit berjangkit ketika melaksanakan tugas diberi suntikan vaksin Hepatitis B dan Influenza. 

Ketua Pejabat Wilayah Sandakan MKN negeri Sabah Mohamad Fadzli Zainal Abidin berkata program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah itu dijalankan serentak di tiga Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Sibuga dan Papar. 

“Tujuannya adalah untuk mencegah kakitangan daripada terkena jangkitan penyakit Hepatitis B dan Influenza kerana tugas mereka terutama pengawal keselamatan yang sentiasa berdepan dengan tahanan warga asing yang tidak mempunyai dokumen. 

“Program ini juga julung kali diadakan dan mendapat kerjasama yang baik daripada Pejabat Kesihatan Sandakan,” katanya kepada pemberita pada Program Suntikan Vaksin Hepatitis B dan Vaksin Influenza di PTS Sibuga, di sini, hari ini.

Seramai 92 kakitangan membabitkan pengawal keselamatan yang bertugas mengendalikan tahanan di PTS Sibuga menerima suntikan. Mohamad Fadzli berkata program yang sama akan dilaksanakan di PTS Tawau pada 1 Nov depan membabitkan seramai 109 kakitangan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *