5 daerah banjir besar, lebih 4,000 mangsa dipindah

KOTA KINABALU: Lima daerah dilanda banjir besar dengan seramai 4,122 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat awal pagi ini, berbanding 3,569 mangsa malam tadi.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menunjukkan setakat jam 4 pagi tadi, daerah Beaufort kekal merekodkan jumlah paling ramai dengan 1,339 mangsa daripada 432 keluarga.

Ia disusuli 1,031 mangsa daripada 305 keluarga di daerah Sook, 872 mangsa daripada 293 mangsa di daerah Membakut , 743 mangsa daripada 276 keluarga di Tenom dan 137 mangsa daripada 51 keluarga di Keningau.

Tenom adalah yang terbaru diisytihar kawasan bencana semalam selepas air Sungai Padas di daerah itu melimpahi tebing dan menenggelami puluhan kampung.

Semua mangsa dipindahkan di 20 PPS yang dibuka di kelima-lima daerah selepas berlaku limpahan air sungai secara mendadak sejak Jumaat lalu berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman.

Bencana berkenaan membabitkan enam kawasan Parlimen yang merangkumi kawasan pedalaman Sabah, iaitu Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Pensiangan.

Difahamkan, hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50 mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter menyebabkan banjir besar di lima daerah terbabit. – Info X