PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick memberi sumbangan RM30,000 menerusi peruntukan Ahli Parlimen kepada kelab anggota Ibu Pejabat Polus Daerah (IPD) Penampang bagi keperluan kebajikan anggota polis di daerah ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, berkata sumbangan berkenaan sebagai penghargaan terhadap kegigihan, kecekapan dan keprihatinan anggota keselamatan terutama ketika bencana banjir di daerah ini, tahun lalu.
“Saya menyaksikan sendiri bagaimana anggota keselamatan kita bertungkus lumus menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir ketika itu.
“Sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada anggota polis di daerah ini, saya bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM30,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen kepada kelab anggota IPD Penampang bagi keperluan kebajikan anggota dan keperluan-keperluan lain.
“Walaupun jumlah sumbangan ini kecil berbanding jasa dan pengorbanan mereka, namun ia adalah tanda penghargaan kita atas peranan besar anggota polis memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan Warga IPD Penampang dan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf, anak yatim, balu dan pesara polis Penampang, di Dewan Terbuka IPD Penampang, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang.
Sementara itu, Ewon berkata, peranan besar pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keamanan dan keselamatan negara menjadi faktor utama memudahkan aktiviti keusahawanan dan ekonomi negara terus berkembang.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas jasa dan pengorbanan mereka memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan, saya melihat bagaimana keamanan negara telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi.
“Ini kerana usahawan memerlukan suasana yang aman, damai dan selamat untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa gangguan.
“Prestasi ekonomi negara, termasuk sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi, juga menunjukkan peningkatan tahun lalu berbanding sebelumnya. Saya percaya ini juga disumbangkan oleh peranan anggota keselamatan kita,” katanya.
Mengenai pembiayaan keusahawanan, Ewon berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyediakan skim pembiayaan khusus untuk para pesara dan veteran yang ingin menceburi bidang perniagaan.
“Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) untuk golongan pesara dan veteran ini saya lancarkan pada tahun lalu memberi peluang kepada golongan pesara dan veteran mendapatkan bantuan pembiayaan, bimbingan, latihan dan khidmat nasihat daripada PERNAS,” katanya. –info x

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ